Sunday, August 21, 2011

hotak-hotak Ramadhan

Assalamualaikum. Post ni sebenarnya untuk blog persatuan tetapi disebabkan masalah teknikal, tak berjaya post. Maka aku post di sini. Tak ada siapa kisah tentang asal-usul post ni. Awkward. *Kreek kreek kreek*

Post ni berdasarkan ceramah Ramadhan Mindset. Kalau malas nak baca panjang-panjang, dengar saja. By the way, beliau ialah my favourite speaker :) I present to you, Sh. Gyasi McKenzie! Nama sungguh STYLE!


---------------------------------------------------------


Sudah 20 hari Ramadhan berlalu, apakah semangat kita masih membara seperti hari pertama Ramadhan? Jujurnya, saya sendiri kecewa dengan prestasi amal ibadah sepanjang 20 hari yang telah berlalu ini. Seharusnya lebih hampir kepada penghujung Ramadhan, meningkatlah semangat untuk mengimarahkan bulan mulia ini. Tapi terlalu ramai antara kita yang sudah hilang semangatnya. Quran pun makin sikit, tarawihnya pun sudah kurang khusyuk, puasa tidak lagi sehebat hari pertama, qiamullail pun tidak istiqamah. Kalau hendak disenaraikan semua yang berkurangan, saya sendiri malu untuk menaip.

Jadi apakah yang menjatuhkan kita hingga sebegini? Walhal syaitan sudah diikat? Maka segalanya berbalik pada diri sendiri. Kita semua perlu mengubah pemikiran kita tentang Ramadhan.

Sheikh Gyasi Mckenzie ada menerangkan tentang perkara ini dalam ceramahnya yang bertajuk, Ramadhan Mindset.

1)            Ramadhan sebagai Bulan Kesulitan

Bila sebut tentang Ramadhan, ada saja yang mengadu ‘alamak Ramadan pulak. nak kena puasa lagi, terawih lagi, dah lah tak boleh hisap rokok’
Astagfirullah..mengeluh tak henti-henti. Jadi apakah solusi mereka yang berfikiran sebegini? ‘Hmm puasa je lah..nak buat camne’. Bagus kerana taat tapi tiada penghayatan dalam ibadah tersebut.

2)            Ramadhan sebagai Bulan Pesta Makanan

Benar kita perlu meraikan Ramadhan, tapi tak perlu berlebihan sehingga lupa tujuan sebenar Ramadhan itu sendiri. Berapa ramai antara kita yang naik berat badannya usai Ramadhan? Selalu saya terdengar rakan-rakan yang mengadu berat badan meningkat setelah selesai berpuasa sebulan. Apakah kamu benar-benar berpuasa? Atau berpuasa seharian sekadar untuk berbuka dengan nafsu makan yang menggila? 


3)             Muslim Ramadhan, Muslim Sebulan

Ramai yang bersetuju bahawa Ramadhan adalah bulan terbaik untuk melakukan perubahan. Ada pula yang mengatakan ‘Ramadhan ini membuka peluang yang baik untuk saya berubah menjadi Muslim sejati…..selama sebulan’. Apakah bulan Ramadhan saja diharamkan untuk kamu merokok? Apakah bulan Ramadhan saja Allah memerintahkan untuk menutup aurat? Apakah bulan Ramadhan saja wajib solat lima waktu? Seharusnya, perubahan Ramadhan ini kita bawa sehingga bulan-bulan yang akan datang.


4)             Ramadhan sebagai Bulan Teristimewa

Mereka yang berfikiran sebegini tahu akan nilai sebenar Ramadhan, sehinggakan semangat Ramadhan ini meningkatkan iman mereka ke tahap yang tak dapat mereka impikan dalam bulan-bulan lain. Ramadhan digunakan sepenuhnya untuk mencari redha Allah, memohon keampunan dan banyak lagi.

“Hanya mereka yang benar-benar memahami Ramadhan yang berjaya menunaikan hak Ramadhan”

Ya Allah, tingkatkan iman kami, bakar semangat kami, jadikanlah kami dalam golongan yang terakhir itu.

            Semoga bermanfaat.



------------------------------------------------------


Berakhir sudah formaliti. Kurang best sungguh menulis secara formal ni. Seolah-olah mencekik kretativiti yang sememangnya terhad. Selamat hari raya, tapi sebelum itu, selamat berpuasa, selepas itu, selamat mencari malam lailatul qadar.  

Ya Allah, sampaikanlah kepada kami malam lailatul qadar.



[1]


Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
[2]
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
[3]
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
[4]
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
[5]
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!